Assalam qablal kalam

Jumaat, 23 September 2011

Taharah ( Bersuci )

TAHARAH (BERSUCI)
Ertinya:    Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.
Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. (Surah Al-Baqarah ayat 222)

Pengertian bersuci:
Pada Bahasa: Membersihkan diri atau sesuatu daripada sebarang kekotoran. Sama ada benda itu najis ataupun tidak. Benda-benda najis seperti darah, bangkai, tahi dan sebagainya. Benda-benda yang kotor tetapi tidak najis seperti air ludah, hingus dan lain-lain.
Erti pada Syarak: Menghilangkan halangan beribadat kerana ada hadas atau najis atau menghilangkan halangan memakan sesuatu  benda disebabkan terkena najis.
Iman Al-Ghazali menegaskan dalam kitab Ihya Ulumuddin bersuci itu terbahagi kepada empat tingkat iaitu:
1. Mensucikan anggota-anggota lahir daripada hadas-hadas, anasir-anasir jahat dan kelebihan-kelebihan yang tidak perlu.
2. Mensucikan anggota-anggota badan dari perbuatan-perbuatan salah dan dosa.
3. Mensuci kan hati dari akhlak yang terkeji dan kelakuan-kelakuan yang dibenci dan terkutuk.
4. Mensucikan kebatinan dari semua perkara selain daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala, dan ini adalah cara bersuci para Nabi salawatullahi-alaihim dan juga pada Siddiqin.
Taharah zahir dan batin.
Taharah yang bersifat batin ialah mensucikan jiwa daripada kekotoran dosa dan maksiat. Caranya ialah dengan bertaubat dengan  sebenar-benarnya taubat. Dengan membersihkan hati daripada kotoran syirik, ragu-ragu, hasad, dengki, menipu dan dosa besar, juga daripada ujub, riya. Perkara ini dilakukan dengan ikhlas, yakin, mencintai kebaikan, bersabar, jujur dan rendah diri. Serta sentiasa mengharapkan memperoleh keredaan Allah dengan niat dan amalan soleh.
Taharah yang bersifat lahiriah pula ialah dengan membersihkan kotoran dan hadas . membersihkan kotoran dengan cara menghilangkan najis dengan air yang suci lagi menyucikan dari badan, tempat, dan pakaian untuk mengerjakan solat.
                                                                                                                                         bersambung.......

Khamis, 22 September 2011

Pendidikan Dalam Islam

Konsep Pendidikan Islam

Islam meletak elemen pendidikan di kedudukan terpenting, ianya juga merupakan ibadat yang besar. Ini berdasarkan firman Allah dalam Al-Quran surah Al-Alaq  yang bermaksud:

" Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang mencipta (sekelian Makhluk), Dia menciptakan manusia dari segumpal darah beku: Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan",
   
Dalam ayat di atas Allah memerintah manusia belajar mengenal Tuhan, memahami fenomena alam dan diri sendiri serta menghayati cara hidup yang  baik, ianya tergolong dalam prinsip akidah, ilmu dan amal.
 
 Islam menekan pendidikan duniawi dan ukhrawi, Oleh itu Islam membahagikan ilmu kepada dua kumpulan iaitu ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah.

Sumber Pendidikan Islam


Islam merupakan agama yang lengkap merangkumi seluruh cara hidup, oleh itu sistem pendidikan dalam Islam adalah berdasarkan peraturan Islam kearah kebahagian dunia dan akhirat yang bersumberkan  Al-Quran dan Al-Hadis Rasulullah s.a.w.

Asas Pendidikan Islam
Oleh kerana Pendidikan Islam bersumberkan Al-Quran dan Hadis maka asas pokok kepada Pendidikan Islam adalah berteraskan akidah, ibadah , sirah Nabawi dan akhlak.

                                                                                                                                         bersambung.......