Assalam qablal kalam

Sabtu, 8 Oktober 2011

Apa makna Taharah?

Thaharah (sambungan)

Hikmah Disyariatkan Bersuci
Islam mensyariatkan bersuci kerana terdapat hikmah yang banyak, antaranya;
1.   Bersuci adalah satu tuntutan fitrah. Fitrah manusia cenderung kepada kebersihan dan secara semulajadi
      dia tidak suka dan menjauhkan diri daripada kejijikan dan kekotoran. Oleh kerana Islam adalah agama
      fitrah, maka secara semulajadi ia memerintah (manusia) supaya bersuci dan menjaga kebersihan.
2.   Menjaga kemuliaam dan izzah (kehebatan dan kemegahan). Manusia secara semulajadi cenderung
      kepada seseorang yang bersih, suka berhimpun dan duduk bersamanya. Pada waktu yang sama mereka
      bencikan kepada seseorang yang pengotor,menghina dan menjauhkan diri serta tidak suka duduk
      bersamanya. Oleh kerana Islam adalah agama yang sangat mengambil berat dalam menjaga kemuliaan
      seseorang yang beriman(mukmin) dan kehebatannya, maka Islam memerintah supaya seseorang mukmin
      itu menjaga kebersihan agar menjadi orang yang mulia dan disegani di kalangan saudara-saudaranya.
3.   Menjaga Kesihatan. Kebersihan adalah antara faktor yang amat penting untuk menjaga manusia daripada  
      penyakit. Ini kerana kebanyakan penyakit yang merebak di kalangan manusia adalah disebabkan
      kekotoran. Oleh itu membersihkan badan, membasuh muka, dua tangan, hidung dan kaki (anggota yang
      sentiasa terdedah kepada kekotoran) beberapa kali setiap hari, menjadikan badan sentiasa terpelihara
      daripada penyakit.
4.   Berdiri di hadapan Allah dalam keadaan suci dan bersih. Ini kerana dalam solat, manusia bercakap
      dengan Tuhannya dan bermunajat kepadaNya. Oleh itu selayak dan sepatutnya dia berada dalam
      keadaan suci zahir dan batin, bersih hati dan juga badannya kerana Allah Taala kasih kepada orang yang
      suka bertaubat dan sentiasa bersih.

Air Yang Boleh Dibuat Bersuci
Air yaang boleh dibuat bersuci ialah air hujan, air laut, air perigi, air sungai, air mata air dan air salji.
Semua air ini tergolong dalam dua kategori; Air yang turun dari langit dan air yang terbit atau terpancar dari bumi. Firman Allah Taala yang bermaksud;
" dan kami telah turunkan dari langit air yang suci." (Al-Furqan: 48)

Bahagian-Bahagian Air
Air terbahagi kepada empat bahagian;
1.   Suci lagi menyucikan
2.   Suci lagi menyucikan tetapi makruh
3.   Suci tetapi tidak menyucikan
4.   Bernajis.

bersambung........