Assalam qablal kalam

Sabtu, 12 November 2011

Bahagian Air ( sambungan )

1. Air Yang Suci Lagi Menyucikan
    Air yang suci lagi menyucikan ialah air mutlak yang kekal dengan sifat kejadiannya yang telah dijadikannya oleh Allah Taala. Ia tetap dikatakan air mutlak walaupun telah berubah dengan sebab lama ditinggal atau disebabkan tanah atau tahlub (kiambang) , bekas atau tempat mengalir seperti ia berada dalam tanah yang mempunyai belerang. Semuanya ini masih tetap dikatakan air mutlak, kerana sukar untuk dielakkan daripada perkara tersebut.

2. Air Yang Suci dan Menyucikan Tetapi Hukumnya Makruh.
    Iaitu air musyammas. Ia adalah air yang panas disebabkan cahaya matahari dan hukumnya makruh apabila ada tiga syarat berikut :

    i.   Ia berlaku di negeri yang panas
   ii.   Ia diletakkan di dalam bekas yang ditempa daripada selain emas dan perak seperti
         besi, tembaga dan semua  galian yang boleh ditempa (berkarat).
  iii.   Ia digunakan pada badan manusia walaupun badan mayat atau pada haiwan yang boleh
         menyebabkannya  ditimpa penyakit sopak.

3. Air Yang Suci Tetapi Tidak Menyucikan.
    Ianya terbahagi kepada dua bahagian :

    Pertama : Air yang sedikit yang telah digunakan untuk thaharah wajib seperti mandi wajib atau wudhuk.
Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari  dan Muslim daripada Jabir bin Abdullah r.a. katanya : " Rasulullah s.a.w. datang menziarahiku untuk bertanyakan keadaanku. Ketika itu aku sakit dan tidak sedar. Lalu Baginda berwudhuk  dan mencurahkan air wudhuknya ke atas aku."
    Sekiranya air wudhuk tersebut tidak suci, nescaya Baginda tidak akan mencurahkannya ke atas Jabir.

    Dalil ia tidak menyucikan ialah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda : "Janganlah seseorang kamu mandi dalam air yang bertakung iaitu air yang tenang yang tidak bergerak, sedangkan dia berjunub. Lalu para sahabat bertanya kepada Abu Hurairah : Wahai Abu Hurairah, bagaimana ia hendak dilakukan (mandi dengan air tersebut)? Jawab Abu Hurairah: Ia menyelam dalamnya dengan satu selaman (sekaligus)."


    Hukum berwudhuk adalah sama dengan hukum mandi kerana kedua-duanya mengandungi makna yang sama iaitu mengangkat hadas.

   Kedua : Air mutlak yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang kebiasaannya air tersebut tidak berhajat kepadanya dan ia tidak boleh dipisahkan setelah bercampur, kemudian ia berubah dengan suatu perubahan yang tidak lagi dipanggil dengan air mutlak seperti air teh. Tetapi jika benda suci yang bercampur dengan air tersebut menyerupai air pada sifat-sifatnya (rasa, bau dan warna), seperti air bunga mawar yang sudah hilang  sifat-sifatnya, maka ketika itu : air bunga mawar itu hendaklah diganti dengan bahan lain yang mempunyai sifat berlainan yang sederhana : iaitu digunakan perahan delima untuk menentukan perubahan rasa, perahan tebu bagi menentukan perubahan warna dan al-lazan bagi menentukan perubahan bau. Sekiranya ditakdirkan berlaku perubahan disebabkan percampuran tersebut, maka ia menjadi ia menjadi air yang suci tetapi tidak menyucikan lagi. Ia tidak menyucikan kerana ketika itu ia tidak lagi dinamakan sebagai air mutlak. Sedangkan syarak mensyaratkan supaya air yang dibuat bersuci adalah air mutlak.

4. Air Mutanajjis
    Ialah air yang terjatuh najis kedalamnya. Ia terbahagi kepada dua bahagian.

    Pertama : Air yang sedikit iaitu kurang dari dua kolah. Air ini menjadi najis dengan hanya terjatuh najis kedalamnya walaupun sedikit dan tidak berubah sifat-sifatnya dari segi warna, bau dan rasa.

    Kedua : Air yang banyak iaitu air yang sampai dua kolah atau lebih. Air ini tidak menjadi najis dengan hanya semata-mata terjatuh najis atau tersentuh najis  tetapi ia menjadi najis apabila berubah salah satu sifatnya iaitu warna, rasa atau bau.

Air yang boleh dibuat bersuci hanyalah jenis pertama iaitu air mutlak dan kedua iaitu air musyammas sahaja tetapi air musyammas makruh digunakan pada badan. Air dari jenis ketiga tidak boleh digunakan untuk bersuci tetapi ia boleh digunakan untuk tujuan lain seperti minum, memasak dan lain-lain. Air jenis keempat pula tidak boleh digunakan untuk apa-apa kegunaan pun.