Assalam qablal kalam

Isnin, 26 Mac 2012

PENDIDIKAN ISLAM TAHUN 5- IBADAH - AZAN DAN IQAMAH

Assalamualaikum w.b.t.

Solat hendaklah kita tunaikan apabila masuk waktunya.
Apakah tanda yang memberitahu kita masuknya waktu solat?.........Tentulah jawapannya Azan.
Apa pula pengertian azan?

Azan ialah lafaz-lafaz tertentu untuk memberitahu masuknya waktu solat.

Iqamah pula ialah lafaz-lafaz tertentu untuk segera mendirikan solat.

Hukum mengumandangkan azan dan iqamah  ialah sunat muakkad untuk semua solat.

Sejarah Azan
Azan mula diamalkan oleh orang-orang Islam pada tahun pertama Hijrah. Dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim daripada Ibnu `Umar R. A:
“Pada mulanya ketika orang-orang Islam berhijrah ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan sembahyang. Ketika itu tidak ada orang yang menyeru (melaungkan azan) untuk menunaikannya. Pada suatu hari Nabi s.a.w. telah mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat tentang cara untuk memberitahu masuknya waktu solat serta mengajak orang ramai agar ke masjid melakukan solat jemaah.
Dalam mesyuarat itu, terdapat beberapa cadangan. Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat, Ada yang mencadangkan ditiup serunai ataupun trompet; dan ada yang mencadangkan supaya dibunyikan loceng. Semua usul yang diajukan telah ditolak oleh Rasulullah S.A.W.(kerana meniup serunai atau trompet dan memukul loceng adalah cara pemanggilan sembahyang bagi masyarakat Yahudi dan Nasrani(Kristian). Umar bin al-Khattab mencadangkan diteriakkan ucapan: “Telah datang waktu solat”. Usul ini telah diterima oleh Rasulullah S.A.W. tetapi Baginda menukar lafaz itu dengan lafaz “assolatu jami`ah” yang bererti “marilah solat berjemaah”.
Pada suatu malam Abdullah bin Zaid telah bermimpi mengenai cara yang lebih baik untuk memberitahu solat dengan mengumandangkanlah Allahu Akbar… (dan seterusnya lafaz-lafaz azan)”. Pada pagi harinya, Abdullah bin Zaid menemui Rasulullah S.A.W. dan baginda bersabda: “Mimpimu itu mimpi yang benar”. Nabi s.a.w. memerintahkan Bilal bin Rabah mengumandangkan azan tersebut. Ketika Bilal hendak menyerukan azan, Umar datang kepada Rasulullah S.A.W. dan menceritakan bahawa beliau juga bermimpi seperti Abdullah bin Zaid.
Al-Bazzar meriwayatkan bahawa: “Rasulullah S.A.W. pada malam Israk telah diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya di atas langit yang ketujuh. Kemudian Jibril mendatanginya, lalu dia menjadi imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi Adam a.s. dan Nabi Nuh a.s., Allah s.w.t. menyempurnakan kemuliaan baginya ke atas penduduk langit dan bumi”.

Lafaz- lafaz azan


Lafaz azan terdiri daripada lima belas kalimah. Ia dilaungkan sebanyak dua kali bagi setiap lafaz kecuali Takbir pada awal azan disebut sebanyak empat kali dan lafaz kalimah tauhid hanya sekali sahaja.
 
Sebutan Bahasa Arab Transliterasi Terjemahan
4x الله اكبر Allah u Akbar Allah Maha Besar
2x اشهد ان لا اله الا الله Ash-hadu allā ilāha illallāh Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah
2x اشهد ان محمدا رسول الله Ash-hadu anna Muhammadan rasūlullāh Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah Pesuruh Allah
2x حي على الصلاة Hayya 'alas-salāt Marilah menunaikan solat
2x حي على الفلاح Hayya 'alal-falāh Marilah merebut kemenangan
2x الصلاة خير من النوم Aṣ-ṣalātu khayru min an-naūm Solat itu lebih baik dari tidur*
2x الله اكبر Allāhu akbar Allah Maha Besar
1x لا اله الا الله Lā ilāha illallāh Tiada Tuhan selain Allah
* Barisan "Sembahyang itu lebih baik dari tidur" hanya digunakan untuk solat Subuh (fajr).